Monday, October 12, 2015

KESINAMBUNGAN LATIHAN DALAM ATM


Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  bertanggungjawab terhadap pertahanan nasional dengan  pasukan tentera profesional negara yang terdiri daripada Tentera Sarat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sejarah penglibatan ATM terserlah dalam menangani pebagai ancaman negara bermula sejak Perang Dunia Kedua, Zaman Darurat, Konfrantasi dan Insurgensi Kedua sebelum Chin Peng menamatkan perjuangan bersenjata pada 1989.

Pengalaman yang dilalui oleh ATM memang cukup luas dan ia menjadi teras benteng pertahanan negara dan sebagai organisasi ketenteraan ia sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang cabaran dan kemungkinan.

Latihan yang beterusan dilaksanakan walaupun negara bukan lagi menghadapi zaman perang namun ATM tidak boleh merasa selesa dan latihan yang berterusan dilaksanakan semasa aman untuk menentukan setiap anggota sentiasa bersedia pada sebilang waktu.

 

Tentera Darat

Sejarah moden ATM bermula dengan pengambilan 25 orang pemuda Melayu sebagai skuad percubaan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933 dan rejimen tersebut  terus berkembang menjadi satu batalion penuh yang dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu pada 1 Januari 1938.

 Batalion kedua ditubuhkan pada 1 Disember 1941 iaitu enam hari sebelum Perang Dunia Kedua bermula di Malaya dan kedua - dua batalion ini telah menunjukkan kebolehan mereka dalam peperangan menentang tentera Jepun dan selepas  perang, negara dilanda pula oleh ancaman Komunis dan keadaan Darurat telah diisytiharkan pada tahun 1948.

Menjelang tahun 1950 kekuatan Rejimen Askar Melayu telah ditambah menjadi tujuh batalion dan pada  zaman Darurat juga tertubuhnya  pasukan berbilang bangsa iaitu Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan pada tahun 1952.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 Tentera Darat telah berkembang maju dan lengkap untuk menjalankan operasi melawan insurgensi dan pada period tersebut  Tentera Darat sedang pesat dipermodenkan sebagai satu pasukan tentera konvensional yang mampu untuk menghadapi cabaran masa depan.

 

 

Tentera Laut Diraja Malaysia

Tentera Laut Diraja Malaysa (TLDM) bermula dari Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat (SSNVR) pada 27 April 1934 di Singapura.

Pasukan ini diperbesarkan pada tahun 1938 dengan penubuhan cawangan Pulau Pinang dan ditukarkan nama kepada Pasukan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaya.

Menjelang Perang Dunia Kedua, seksyen Melayu dalam Royal Navy telah ditubuhkan dan kekuatan pasukan ini mencapai jumlah 1430 anggota pada tahun 1941. Selepas kejatuhan Singapura pada tahun 1942, seramai 150 orang anggota Tentera Laut Malaya telah berundur ke Ceylon, India dan Afrika Timur.

Anggota -anggota ini kembali ke Malaya apabila perang tamat malangnya disebabkan kekurangan kewangan selepas perang, Tentera Laut Malaya telah dibubarkan pada bulan April 1947 dan apabila  Darurat tercetus pada tahun 1948, Tentera Laut Malaya telah dihidupkan semula dan diwartakan pada 4 Mac 1949.

Tentera Laut Malaya dianugerahkan gelaran Diraja oleh baginda Queen Elizabeth II pada tahun 1952 dan  Tentera Laut Diraja Malaya yang selama ini menjadi sebahagian daripada Royal Navy telah dipindahkan dari Singapura ke Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1958.

Serentak dengan ini, panji-panji Royal Navy telah ditukarkan dengan panji-panji Persekutuan, Tentera Laut Diraja Malaya dan selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963 ia dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tentera Udara Diraja Malaysia

Sejarah awal Tentera Udara Diraja Malayia (TUDM) bermula dengan  penubuhan Pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-negeri Selat (SSVAF) oleh British pada tahun 1936.

Pasukan ini ditukar nama kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara Malaya pada tahun 1940 tetapi telah dibubarkan selepas Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1950 pasukan ini telah dihidupkan semula sebagai Royal Air Force Malaya(RAF Malaya).

Tentera Udara Malaya menjadi kenyataan pada tahun 1958 apabila pesawat Twin Pioneer pertama mendarat di pangkalan RAF Kuala Lumpur. Tentera Udara Diraja Persekutuan  ditubuhkan dengan rasminya pada 2 Jun 1958.

Perkembangan ATM

Angkatan Tentera Malaysia mengalami evolusi yang berterusan daripada sekadar pasukan tambahan di dalam Tentera British kepada pasukan menentang insurgensi seterusnya dibentuk menjadi sebuah angkatan konvensional.

Pemerolehan aset Angkatan Tentera Malaysia(ATM) di bawah Rancangan Malaysia ke-11 diteruskan walaupun negara menghadapi cabaran ekonomi global termasuk menaik taraf helikopter Sikorsky S61A-4 'Nuri', pesawat Hercules C-130, Korvet Kelas Laksamana dan pemerolehan aset lain merangkumi ketiga-tiga sayap ATM.

Dengan perancangan rapi dilakukan Kementerian Pertahanan dan ATM akan  dapat menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan  keselamatan negara dan juga moral serta kebajikan anggota  diberikan keutamaan.

Pada Mac 2013, Malaysia menyenarai pendek lima jet tempur antaranya Eurofighter Typhoon buatan konsortium Eropah terdiri BAE Systems, EADS dan Finmeccanica; Rafale keluaran Dassault Aviation serta F/A 18 dari Boeing.

Permodenan  ATM pula menghadapai hambatan  oleh faktor ekonomi dan faktor sumber manusia dan krisis kewangan yang melanda telah menyebabkan beberapa program masih belum melepasi fasa cadangan.

Antaranya perolehan kumpulan kedua frigat TLDM, skuadron kedua pesawat tempur pelbagai fungsi TUDM, pesawat amaran awal dan rondaan maritim dan juga helikopter utiliti tambahan.

Kesiapsagaan Tentera Darat


Peranan Tentera Darat (TDM) sebagai sebahagian daripada ATM bukan kecil, malah ketumbukan ini merupakan nadi utama ATM di samping Tentera Darat merupakan pasukan yang kekal sebagai perkhidmatan terbesar di dalam ATM.

Meski keperluan penglibatan operasi pada masa kini memerlukan kolaborasi dan integrasi antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan dengan pelbagai agensi kerajaan serta bukan kerajaan.

Oleh yang demikian untuk memperteguh ketumbukan ini, TDM bukan sahaja perlu menyiapkan diri bagi menghadapi cabaran tradisional  malah perlu memperlengkapkan diri menghadapi cabaran bukan tradisional.

TDM sentiasa mewujudkan dasar, perancangan strategik serta operasi bertepatan dengan kondisi operasi bersama bagi memperlengkapkan kesiagaan, TDM mengamalkan trilogi 3M: Manusia, Mesin dan Metode.

Keutamaan diberi kepada memperlengkapkan sumber manusia  dengan meningkatkan kualiti mereka meliputi pengetahuan, kemahiran, sikap dan kompetensi dan menjamin kelangsungan peningkatan perkakasan, ia sedang dan dalam proses dibangunkan serta dipertingkatkan.


Transformasi ATM ke arah keseimbangan dan ketumbukan konvensional (conventional war-fighting force) diperkukuhkan dengan implementasi Pelan Strategik 4D MAF yang mengkhususkan kepada tiga kunci utama iaitu ketumbukan bersama (joint force), keutuhan saluran maklumat dan dimensi pelbagai meliputi dimensi pertempuran sub permukaan (subsurface), permukaan (surface), udara (air) dan informasi/siber.


Dengan mempunyai ketumbukan Tentera Darat berdaya saing dan boleh dipercayai, dapat menyumbang kepada pembinaan kekuatan ATM yang menjurus kepada tahap keyakinan rakyat dan kepercayaan negara terhadap ATM.

Latihan Dalam TUDM


Tarikh 14 Disember 1961 adalah hari yang bersejarah bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana pada hari tersebut Menteri Pertahanan pada ketika itu Dato’ Abdul Razak Hussien telah menyampaikan sayap kepada juruterbang pertama yang dilatih oleh Sekolah Latihan Penerbangan di pangkalan udara Sungai Besi.


Sebagai sebuah angkatan udara yang masih muda pada ketika itu jurulatih penerbangan adalah terdiri daripada juruterbang  Royal Air Force (RAF) yang dipinjamkan kepada kerajaan Persekutuan bagi mengendalikan latihan penerbangan dengan menggunakan pesawat latihan daripada jenis Chipmunk.


Dalam bulan Jun 1962 di bawah kepimpinan Squadron Leader L J Otley Sekolah Latihan Penerbangan telah mengalami perubahan dengan penggunaan pesawat baru Piston Provost T 51/53 untuk menggantikan pesawat Chipmunk yang digunakan sejak 1958.



Latihan penerbangan telah dipindahkan ke TUDM Alor Setar pada 1  Julai 1964 dan Sekolah Latihan Penerbangan telah dipimpin oleh pegawai pinjaman RAF iaitu Squadron Leader F J Woodard yang juga merupakan Pegawai Memerintah TUDM Alor Setar.

Kursus latihan penerbangan di Alor Setar pada 12 September 1964 dan Sekolah Latihan Penerbangan seterusnya mengendalikan latihan lanjutan penerbangan dengan kehadiran pesawat Dove bagi melatih juruterbang yang telah mendapat sayap penerbangan setelah melalui latihan penerbangan  dan lulus sebelum latihan peralihan kepada pesawat lain yang akan dikendalikan oleh skuadron penerbangan.

Pada bulan Jun 1972 pesawat Piston Provost yang telah digunakan untuk melatih 120 orang juruterbang TUDM sepanjang 10 tahun perkhdimatannya telah digantikan dengan pesawat Bulldog manakala pada tahun 1975 pesawat Dove telah digantikan perkhidmatannya dengan pesawat Cessna 402B untuk digunakan dalam latihan penerbangan lanjutan.


Sebelum TUDM mempunyai pusat latihan sendiri untuk melatih juruterbang helikopter ia telah menghantar pelatih juruterbang ke South East Asia Helicopter (SEA Helicopter) sebuah syarikat swasta pada 1970 sehingga 1975 iaitu selama lima tahun dan mereka mengendalikan pesawat Bell sebelum menjalani latihan peralihan pesawat Alouette III atau helicopter Nuri.



Menyorot Latihan TLDM

Sebagai tonggak pertahanan maritim negara, TLDM sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keselamatan kedaulatan perairan negara.

TLDM menggabungkan siri latihan kemahiran laut bersama kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman dalam latihan yang diberi nama Operational Sea Training Exercise/Submarine Fleet Integration Training 2010 atau ringkasnya sebagai Ostex Sub Fit 2010.

 

TLDM telah mengambil inisiatif untuk menggabungkan latihan yang kelazimannya dilaksanakan secara berasingan mengikut markas wilayah dan latihan yang digabungkan itu telah dilaksanakan di perairan Laut China Selatan dan Gugusan Semarang Peninjau.

 


Latihan itu merupakan latihan gabungan armada TLDM yang pertama dilaksanakan oleh TLDM melibatkan aset strategik kapal selam negara yang pertama iaitu KD Tunku Abdul Rahman.


Ia juga merupakan latihan peperangan terbesar TLDM yang melibatkan 10 buah kapal TLDM yang berpangkalan di Lumut, Kuantan dan Kota Kinabalu.

 

Turut mengambil bahagian adalah aset udara TLDM iaitu pesawat Super Lynx dan Fennec, dua Pasukan Khas Laut (Paskal) iaitu KD Sri Semporna dan satu pasukan Penyelam daripada Markas Wilayah Laut 2.

 

Selain itu TUDM turut menyumbang dalam kejayaan latihan peperangan terbesar TLDM itu dengan membabitkan pesawat pejuang Hawk 200, pesawat rondaan maritim B200T dan helikopter Nuri.


Terdahulu sebelum latihan dilakukan, KD Tunku Abdul Rahman dalam Eksesais Taming Sari 15/10 telah berjaya melancarkan peluru berpandu dari bawah permukaan ke permukaan jenis EXOCET SM 39.

 

Penembakan ini telah berjaya mengenai tepat dan memusnahkan sasaran permukaan berukuran 40 meter dan kejayaan tersebut  telah membuktikan kesiagaan dan keupayaan TLDM dan kapal selam negara KD Tunku Abdul Rahman menjalankan sebarang misi apabila diperlukan.


Selain kapal selam KD Tunku Abdul Rahman, 10 buah kapal TLDM yang terlibat adalah kapal pemerintah KD Sri Indera Sakti, dua buah kapal Frigate (penangkis kapal selam), KD Lekiu dan KD Lekir; empat buah kapal ronda generasi baru TLDM, KD Pahang, KD Kedah, KD Perak dan KD Terengganu; dua kapal penangkis periuk api KD Mahamiru dan KD Ledang, sebuah kapal pengangkut trup laju, KD Sri Gaya dan sebuah bot tempur.

KD Tunku Abdul Rahman mempunyai kelebihan penderia yang canggih dan berupaya mengesan bunyi (signal akuastik) kapal-kapal di permukaan dengan cepat dan berjaya melaksanakan serangan dari bawah air dengan tepat.

Dengan kelebihan tersebut, kapal-kapal permukaan tidak tahu arah ancaman dari bawah permukaan akan berlaku dan perlu sentiasa bersedia mengatasinya dan latihan secara gabungan ini juga dapat digunakan oleh KD Tunku Abdul Rahman dan kapal-kapal permukaan dalam memantapkan lagi prosedur dan taktik masing-masing dalam melaksana dan menangkis serangan.

Setiap gugus diberi misi tertentu seperti mencari dan memusnahkan pihak lawan, mempertahankan kedudukan dan menceroboh kawasan lawan berdasarkan maklumat perisikan yang diberi oleh pengendali eksesais.

Gugus tugas kapal-kapal, pesawat dan kapal selam akan berkomunikasi antara satu sama lain dalam merancang dan menyampaikan arahan serta mengatur strategi dalam menyelaraskan sesuatu pergerakan atau serangan.

Latihan Lanjutan

Latihan yang berterusan dilaksanakan oleh ATM dan ketiga-tiga cabang iaitu TDM, TLDM dan TUDM mempunyai Markas Latihan masing-masing untuk melaksanakan latihan daripada peringkat asas sehinggalah peringkat lanjutan untuk menentukan kesinambunganlatihan di alam pasukan.

Sebaik sahaja seorang anggota menerima latihan asas di pusat latihan masing-masing mereka akan ditukarkan ke pasukan  baik di unit TDM, TUDM atau TLDM dan di sanalah mereka memulakan kerjaya mengikut kepakaran.

Anggota akan menjalani latihan berkerja (On Job Training) sebelum diserap di bahagian ketukangan yang diceburi dan latihan lanjutan akan diberikan untuk melayakkan mereka melaksanakan tugas sama ada dalam bidang teknikal atau yang bukan teknikal.

Bagi TDM pula anggota yang telah menjalani latihan asas untuk kor infantri akan ditugaskan dalam batalion dan bagi bahagian teknikal akan memasuki unit teknikal yang memerlukan latihan lanjut dalam ketukangan dan kor masing-masing.

Latihan Perang

Adalah menjadi rutin dan sebahagian daripada tanggungjawab setiap pasukan untuk menjalani latihan bagi memupuk setiakawan dan kesiapsagaan dalam pasukan dan ia dilakukan dengan pelbagai eksesais tahunan.

Setiap pasukan akan menjalankan latihan untuk menguji tahap kesiapsagaan masing-masing baik yang dikendalikan oleh TDM,  TLDM atau TUDM  yang pada akhirnya menjurus kepada matlamat utama mencapai misi organisasi.

Markas Latihan Bersama bertanggungjawab untuk mengkoordinasikan latihan yang melibatkan ketiga-tiga cabang ATM dari segi penyediaan trup dan aset persenjataan yang digunakan dalam latihan.

Kesinambungan latihan adalah perlu untuk ATM mempunyai ketumbukan yang kental dan latihan bukan sahaja melibatkan ATM di dalam Negara malah turut melibatkan pasukan tentera daripada Negara sahabat.

Dengan penglibatan latihan di peringkat antarabangsa maka ATM dapat menimba pengalaman dan membuktikan ketrampilannya di arena global seperti yang telah dibuktikan dengan misi ketenteraan di bawah pasukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).